Rak Buku Bacaan Harian ku

Fazi's read book montage

Martha Stewart's Cookies: The Very Best Treats to Bake and to Share
Hello, Cupcake
Cake Pops: Tips, Tricks, and Recipes for More Than 40 Irresistible Mini Treats
Martha Stewart's Cupcakes: 175 Inspired Ideas for Everyone's Favorite Treat
What's New, Cupcake? Ingeniously Simple Designs for Every Occasion
BakeWise: The Hows and Whys of Successful Baking with Over 200 Magnificent Recipes
The Face Food Bento Book
Hello, Cupcake! What's New?
100 Sunnah Rasulullah SAW Yang Dilupakan
Imam Syafie Pejuang Kebenaran
Misteri Firaun: Musuh Para Nabi
Laksamana Cheng Ho: Pemimpin Armada Lautan Barat
Sejarah 25 Rasul
Solat Sunat - Kaitannya dengan Keperluan Masa Kini
Siri Kisah Teladan Para Sufi Siri 1 - Hasan Al-Basri
Cara Makan Rasulullah (SAW): Makanan Sihat Dan Berkualiti
Aura Personaliti Warna
Allah Tidak Pernah Jauh
Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Solat Tapi Anda Malu Bertanya
Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Solat 2 Tapi Anda Malu Bertanya


Fazi Fuad's favorite books »

AHLI PERPUSTAKAAN


Wahai orang-orang yang beriman!, Peliharalah oleh kamu dan ahli keluarga kamu dari (dicampakkan) Ke dalam api neraka, yang bahan bakarnya terdiri dari batu-batu dan manusia.
(Surah At-Tahrim: Ayat 6)

Sabtu, 28 Ogos 2010

Subhanallah. .. Sayangnya Allah & Malaikat kepada Hambanya




Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda, katanya, "Setiap anak Adam akan dijaga oleh dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang sebelah kiri. Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan katanya, "Apakah yang harus aku catit?"

Kata malaikat di sebelah kanan, "Jangan kamu catit dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan. Malaikat yang di kiri bertanya lagi,"Kalau ia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catitkan?"

Jawab malaikat kanan, "Biarkannya, sehingga ia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w..t bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu hapuskanlah 5 kesalahannya yang lalu sebagai tebusan dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi."

Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata,"Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam..."

Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayangNya melimpah ruah tiada terbatas hanya hambanya saja yang lalai dan leka dengan keseronokkan serta kemewahan dunia.



Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.




bacaan harianku

Jumaat, 27 Ogos 2010

NUZUL AL-QURAN & LAILATUL QADAR





Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku.Sempena hari ini Nuzul al-Quran. Hari yang agung untuk kita semua umat Islam. Hari yang di mana Allah turunkan mukjizat agung ke kekasih-Nya Rasulullah SAW untuk disedarkan kepada Hamba-Nya yang boleh dilihat,dipegang dan dihayati oleh semua umat-Nya. Di sini saya akan ambil petikan jadi laman sesawang JAKIM mengenai Nuzul al-quran & Lailatul Kadar. 









Album : Maafkan

Munsyid : Raihan





Di dalam bulan Ramadhan

Ada satu malam
Nilainya menyamai
Dengan seribu bulan
Itulah dia malam Al Qadar
Hadiah pada Hamba-Nya yang bertaqwa

Di dalam bulan Ramadhan 
Ada satu malam
Nilainya menyamai
Dengan seribu bulan

Korus:
Singkaplah tabir
Di sepuluh malam terakhir
Berjumpa kita mencari
Keredhaan-NYa
Hidupkan malam, Beribadah dan iktikaf
Berdoa, bertasbih dan mohon keampunan

Narration :
Malam apakah ini?
Kiranya, 83 tahun
Melangkaui kadar lazim
biasa umum
Usia umat Nabi pilihan
Beruntunglah bagi hamba

Di dalam bulan Ramadhan
Ada satu malam
Barangsiapa yang 
menghidupkan 
Lailatul Qdar
Akan diampun dosa - dosanya
yang silam

Reapeat korus

Ya Allah
Yang memberi 
Kemanfaatan
Maafkan kami
Semua hamba - hambaMu.

Oleh;  Dr. Samsu Adabi  Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia



Nuzul Al-Quran


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

  Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan. 
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
            Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan     
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).








Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.



bacaan harianku

Selasa, 24 Ogos 2010

MENYESAL PELUK ISLAM SELEPAS DENGAR CERAMAH USTAZ





Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku. Sempena bulan yang mulia saya ingin berkongsi satu pengalaman saya dengan seorang saudara baru wanita ketika saya pergi menemai suami shooting drama. Setelah penat seharian shooting, jam sudah pukul 7mlm sementara menunggu waktu berbuka puasa kami mengisi masa dengan berborak-borak. 

Salah seorang dari kami di meja makan bertanya pada saya tentang bagaimana suami memeluk islam, adakah kerana saya suami memeluk islam?

Beliau terkejut dengan perubahan suami saya sebelum memeluk islam 4 tahun yang lepas. Sejuk mata melihat suami saya buat kali pertama selepas beliau memeluk islam. Perubahan yang ketara terserlah.

Saya katakan padanya suami saya telah memeluk Islam (07/2007)setahun sebelum kami berjumpa. Beliau memeluk Islam bukan kerana cinta atau ingin berkahwin dengan wanita melayu. Tapi kerana cintanya pada Islam setelah mendapat hidayah ketika dalam mimpi dan dari pengaulan di kalangan masyakarat Islam.

Kami bertemu jodoh selepas suami saya pulang dari umrah tahun  pertengahan tahun 2008. Kami ditemukan di rumah kakak saya buat kali pertama pada malam 1 Ramadhan. Pada 7 Ramadhan suami saya melamar saya. Kemudian kami bertunang pada 17 Ramadhan iaitu pada hari Nuzul al-Quran. Dalam masa 2 bulan kami telah melangsungkan pernikahan kami dan sah lah kami sebagai suami isteri.

Kemudian rakan semeja Si A tadi bertanya lagi
"Bagaimana awak mendidik suami, bolehke  ikut ajaran Islam?"

Persoalan yang menarik untuk dijawab. Untungnya saya, suami telah mendalami Islam sebelum beliau memeluk Islam. Beliau telah mengkali semua agama sebelum beliau memeluk Islam. Setelah membuat kajian, beliau belajar berpuasa, solat 5 waktu dan sebagainya dengan seorang ustaz.

Selepas berkahwin dengan saya , alhamdulillah saya bersyukur sangat-sangat beliau sudah tahu asas-asas Islam. Saya cuma selalu pantau solatnya sekira ada yang tak cukup atau ada yang tak betul tertibnya. Memberi semangat sekiranya rasa tersisih oleh masyarakat. Dan yang paling penting sebagai seorang isteri kena mempersiapkan diri dengan ilmu di dada untuk membimbing suami saudara baru dan memberi contoh terbaik di kaca matanya.


Setelah puas mendengar cerita mengenai kami suami isteri, salah seorang yang duduk di meja makan juga rupanya  seorang wanita saudara baru. Beliau juga cuba mencelah perbualan yang dibualkan.

Beliau berkata " Kalau akak tanya saya kenapa saya masuk Islam, saya pon tak tahu kenapa saya masuk Islam."

Kami di meja tersebut tergamam mendengarnya. Jadi Si A pon bertanya.

"Bagaimana B boleh masuk Islam?"


B menjawab, "Entahlah saya pon tak tahu kenapa saya masuk Islam. Ketika mengucap 2 kali syahadah. Tidak ada apa-apa perasaan. Perasaan itu kosong. Ada suatu hari itu selepas habis kiamulai yang disertai oleh ramai saudara baru ada takzirah. Ustaz tersebut itu menceritakan mengenai arak. Kenapa arak itu haram. Ia adalah kerana memabukkan dan adalah punca semua kejahatan.

Jadi saya bertanya pada Ustaz tersebut kalau kita minum arak tapi kita tak mabuk jadi ia tak haram la.

Ustaz tersebut tak boleh nak jawab persoalan saya. Kemudiam saya berpaling pada kawan sebelah dengan cakap yang saya menyesal memeluk Islam kerana ada rasa beban. Kawan sebelah saya pula peluk Islam kerana ingin berkahwin sahaja bukan kerana Islam juga ada rasa menyesal."

Sakit dada saya dengar penjelasan B ni. Beliau memeluk Islam tak tahu kenapa dan beliau rasa beban pula.

Kemudian B berkata lagi " Saya tanya Ustaz lagi, kenapa kita kena solat dalam bahasa arab? Ustaz tu jawab kerana Allah bercakap dalam bahasa arab. Apabila ustaz itu memberi jawapan begitu saya bukankah tuhan itu Maha Mengetahui. Hanya bahasa arab saje ke yang dia tahu. Semua soalan yang ditanya semuanya tak memuaskan hati saya."

Selepas mendengar semua cerita dari B, saya katakan padanya arak haram diminum walau setitik sekalipun haram kerana tujuan dijadikan arak itu untuk menghilangkan kawarasan akal, memabukkan, seronok dan sebagainya. Dan sayakan pada zaman Rasulullah, ketika jemaahnya sedang solat ada yang dalam keadaan mabuk akibat dari meminum arak. Selepas kejadian tersebut, Rasulullah mengharamkan arak dalam Islam dan turunnya wahyu mengenai arak diharamkan. 

"Minuman apapun kalau banyaknya itu memabukkan, maka sedikitnya pun adalah haram." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi)




Mengenai bahasa arab dalam solat. Allah telah memberi penghormatan kepada Rasulullah yang berbangsa arab. Penggunaan bahasa arab digunakan. Jawapannya mudah. Kalau saya salah tolong betulkan.

Saya nasihatkan B supaya dia berguru. Dia tak boleh seorang diri tanpa bimbingan selepas  memeluk Islam. Perbualan tersebut selesai dengan masuknya waktu berbuka puasa.
Pengajaran yang saya dapat pada hari tersebut ialah, kita sebagai saudara Islam wajib bantu saudara baru kita dalam hal ehwal agama. Berikan jawapan yang mudah dan senang difahami. Jangan rumitkan agama Islam kita. Apabila mereka dengar perkara tersebut beban dan rumit, perasaan menyesal dan ingin kembali kepada agama asal akan timbul.

Selain dari itu, kita juga kena beri contoh terbaik sebagai seorang muslim. Selamatkanlah saudara baru kita. Semoga di bulan yang mulia ini kita sebagai seorangyang dilahirkan Islam dan saudara baru lebih dekat dengan Allah. Insya'allah









Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.





bacaan harianku

AYAT 1000 DINAR








Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku.  Ayat seribu dinar biasanya dikenali sebagai pelaris atau pemurah rezeki.

Ramai peniaga yang mengantung ayat ini di permis perniagaan agar perniagaannya maju.

Ramai juga yang membacanya setiap hari agar rezeki bertambah.

Keberhasilan murah rezeki bukan hanya pada menggantung ayat ini, juga bukan hanya pada membacanya, tetapi pada MENGAMALKAN kandungan ayat ini. 


Ayat Seribu Dinar adalah ayat suci Al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq, dari ayat dua dan tiga :

                               



Terjemahannya : 

Barangsiapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Kesimpulannya, jika ingin murah rezeki atau mendapat rezeki yang tidak di sangka-sangka, caranya ialah jadi orang yang TAQWA.






Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.



bacaan harianku

Rabu, 18 Ogos 2010

JADUAL HARIAN SEORANG MUSLIM DI BULAN RAMADHAN









Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku. Malam yang mulia ini saya ingin berkongsi satu entry yang menarik.  entry kali ini saya petik dari kiriman emel 2 tahun lepas. Sempena bulan Ramadhan ini saya rasa amat sesuai untuk kita kongsikan bersama-sama.  Sungguh menarik dan sesuai juga kalau digunakan untuk jadual seharian kita. 



JADUAL HARIAN SEORANG MUSLIM DI BULAN RAMADHAN

4.00 pagi Bangun
Berdoa kepad ALLAH dengan doa :
Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan
aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan
sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri.
Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.


4.20 pagi Solat Sunat Taubat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua
selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah
tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.


Solat Sunat Tahajjud

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAHTaala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.


Solat Sunat Hajat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali.
Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud
terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.


Solat Sunat Witir




Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat.
Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri,meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 pagi Makan Sahur

Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.28 pagi Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat.
Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah.
Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.


7.00 pagi Membuat persiapan ke tempat kerja.
Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAH
agar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati.

Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi Sembahyang Sunat Dhuha
Ia adalah sumber rezki yg berkat kalau istiqamah diamalkan.

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala.

Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yg sia-sia.

Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja.

12.45 tgh Bersiap untuk solat Zohor.
Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud. Syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

4.15 ptg Bersedia untuk solat Asar.
Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

5.30 ptg Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur. Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!!

6.30 ptg Memperbanyakkan doa sebelum berbuka.
Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda
Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga",
 merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

Apabila masuk waktu magrib.
Bacalah doa dan berbuka :
Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. 



Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat.

8.00 mlm Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih. Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya) , cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)

11.00 mlm Memperbanyakkan istigfar sebelum tidur.
Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhan yg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. (JANGAN LUPA!!!)
Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah.

Bacalah doa sebelum tidur :Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur









Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.



bacaan harianku

Jumaat, 13 Ogos 2010

ADAB BERBUKA PUASA - MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

( sekadar gambar hiasan)








Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh wahai sahabat-sahabatku. Malam yang mulia ini saya ingin berkongsi satu entry yang menarik. Ia amat bersesuaian dengan bulan Ramadhan. Artikel ini adalah artikel Mufti Perlis. Sama-samalah kita fahami dan hayatinya.


Posted on Aug 29, 2008 under Ibadat | - Mufti Perlis
ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.
Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
"Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

"Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."
(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):


"Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya. "
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  1. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air."

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):


"Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air."

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.
  1. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

"Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Riwayat di atas juga menambah:
Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

"Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk."

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).
Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

"Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah."

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  1. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:
Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.
(Surah al-`Araf:31) .






Saya bukanlah pakar bab agama, cuma berkongsi pandangan dan bacaan sebagai seorang insan. Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.

bacaan harianku

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

FAZI FUZZY CAKES