Sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penghulu bagi segala anbia yang juga merupakan nabi dan rasul akhir zaman pada hakikatnya mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana proses penerimaan perintah sembahyang oleh Rasulullah itu sendiri bukannya satu kerja mudah.
Berbanding dengan nabi-nabi lain yang mula melakukan sembahyang atas beberapa faktor, tetapi ibadat sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW diterima perintah oleh baginda secara terus dari Allah dengan baginda dibawa ke Sidratul Muntaha yang letaknya melepasi lapisan langit ketujuh. Sidratul Muntaha itu sendiri adalah tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain, kecuali Nabi Muhammad, malah para malaikat juga tidak boleh ke sana.
Pemergian baginda SAW pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan baginda (yakni dalam tahun 622 Masihi) dinamakan Israk Mikraj yang mana selain daripada menerima perintah kewajipan sembahyang, baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul, malah berkesempatan beramah mesra. Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung seksa kerana memusuhi Allah dan Rasul-Nya serta mereka yang menikmati nikmat kerana bertakwa kepada Allah. Pada mulanya sembahyang yang diperintahkan adalah sebanyak 50 waktu.
Macam mana pun atas cadangan dan desakan Nabi Musa a.s. yang menyebabkan Rasulullah SAW berulang alik naik turun Sidratul Muntaha, maka jumlah waktu sembahyang hanya tinggal lima waktu sehari semalam sahaja. Nabi Musa yang merasakan jumlah sembahyang lima waktu sehari semalam itu akan malas dilakukan oleh umat Nabi Muhammad meminta baginda membuat rayuan pengurangan jumlah waktu sembahyang tetap baginda enggan kerana malu kepada Allah.
Sebenarnya sembahyang lima waktu itu adalah himpunan sembahyang-sembahyang yang telah dilakukan oleh lima orang nabi dan rasul kerana ada sebab dan peristiwanya sebagaimana berikut;
SUBUH: Manusia pertama yang mengerjakan sembahyang subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke dunia.
Semasa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana kesalahan memakan buah khuldi yang dilarang, yang pertama yang dilihat oleh bagi ialah kegelapan. Baginda berasa sangat takut. Macam mana pun apabila fajar menjelang Subuh dunia mulai terang dan kerana bersyukur apabila dunia mula menampakkan akan terang dan tidak gelap lagi, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat. Rakaat pertama sembahyang baginda adalah sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam manakala rakaat kedua adalah bersyukur kerana siang telah menjelma.
ZUHUR : Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan baginda agar menyembelih anak baginda Nabi Ismail a.s. sebagai melepas nazar baginda.
Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari (bertepatan dengan waktu Zohor), lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat. Rakaat pertama kerana bersyukur bagi penebusan, rakaat kedua tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya, rakaat ketiga: tanda bersyukur dan memohon keredaan Allah SWT manakala rakaat keempat tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
ASAR : Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur kerana dikeluarkan dari perut ikan Nun, maka Nabi Yunus a.s. bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama tanda syukur dari bebas dari kelam dengan kesalahan, rakaat kedua bersyukur kerana kelam dengan air laut, rakaat ketika kerana kelam malam dan rakaat keempat kerana kelam perut ikan Nun.
MAGHRIB : Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, yang di kala itu telah terbenamnya matahari. Kerana tanda bersyukur bagi sembahyang tiga rakaat dengan rakaat tanda bersyukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Esa, rakaat tanda bersyukur kerana berjaya menafikan tohmahan ke atas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang manakala rakaat ketiga tanda bersyukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT, tiada dua atau tiganya.
ISYAK : Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat untuk mencari jalan keluar dari negeri Madyan. Sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita kerana sesat ekoran doa seorang alim yang diupah oleh Firaun agar mendoakan supaya Nabi Musa a.s.
Orang alim dan doanya sangat mustajab itu pada mulanya enggan akur kepada arahan Firaun dan enggan menerima upahan dalam bentuk jongkong emas kerana diketahuinya bahawa Nabi Musa a.s. adalah nabi dan rasul.
Hasil siasatan oleh pegawai-pegawai perisikan Firaun mendapati orang alim itu sangat sayangkan isteri dan dia adalah seorang suami yang sering mengalah kepada isteri.
Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Firaun dengan memberi upah emas kepada isteri orang alim itu supaya meminta suaminya berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir negeri Madyan. Bila diminta dan dirayu dan direngek oleh isterinya, orang alim itu tidak dapat menolak. Bagaimanapun, dia memberi syarat akan berdoa dalam kandang kuda.
Orang alim itu menyangka bila berdoa pada tempat yang kotor, doanya tidak akan mustajab. Macam mana pun doanya tetap mustajab dan Nabi Musa a.s. tersesat manakala orang alim itu mati dalam keadaan berdosa kerana mengikut kemahuan Firaun.
Bagaimana Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya Nabi Musa a.s. apabila beliau akhirnya tidak lagi sesat dan ketika itu adalah waktu Isyak yang akhir. Sebagai tanda syukurnya, Nabi Musa bersembahyang empat rakaat dengan rakaat pertama tanda syukur kerana baginda akan dapat kembali ke pangkuan isteri dan kampung halaman. Rakaat kedua tanda bersyukur kerana dapat bersua kembali dan berganding bahu dengan saudara Nabi Harun a.s. bagi menyampaikan seruan Allah. Rakaat ketiga pula kerana selamat daripada tindakan Firaun manakala rakaat keempat tanda bersyukur selamat daripada pengkhianatan anak Firaun terhadap baginda dan umat baginda yang bertakwa.
Ertinya kesemua waktu sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad adalah merupakan amalan-amalan tanda ketakwaan terhadap Allah oleh para nabi dan rasul dan nilainya tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk kebendaan. Kalau nabi dan rasul pun bersembahyang sebagai tanda syukur dan untuk melayakkan diri masuk ke syurga, siapa kita yang bukan nabi dan rasul untuk tidak sembahyang di samping melakukan pelbagai kemungkaran dengan bila mati kita mahukan syurga.
Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat. Kita berusaha, berdoa, dan tawakkal insya'allah
Wallahualam bi shawab
Selamat malam salam kenal semoga sukses
BalasPadamAlhamdulillah saya dapat banyak mutiara juga permata ilmu di sini..semakin banyak kita membaca dan menuntut ilmu semakin itulah kita tahu hakikatnya masih terlalu banyak yang kita terlepas pandang..syukran :)
BalasPadam